31 OGOS : Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan keputusannya meninggalkan DAP berkuat kuasa, hari ini.
Kian Ming memaklumkan keputusan itu dibuat bukan untuk menyertai parti lain atau pun bertanding pada pilihan raya akan datang.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu menzahirkan rasa syukur kepada DAP kerana diberi peluang menyumbang kepada negara melalui pelbagai cara sejak penyertaannya pada 2012.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada saudara Tony Pua kerana jemputan beliau kepada saya untuk menyertai parti DAP dan panduan yang diberikan beliau kepada saya tentang cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu.
“Saya juga berterima kasih kepada Saudara Lim Guan Eng kerana memberi saya peluang untuk dicalonkan untuk kerusi parlimen Serdang dan Bangi dan sebagai Timbalan Menteri semasa beliau menjadi Setiausaha Agung DAP,” katanya dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Dalam pada itu, beliau berkata akan terus menunaikan janji dibuat pada 10 Januari lalu untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya bekas Ketua Pemuda UMNO itu diberi kerusi untuk bertanding.
“Saya akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain termasuk dalam podcast saya, ‘Are We OK’, melalui pelbagai jawatan penasihat saya dan dengan bekerjasama dengan orang lain yang berfikiran sama dengan minat yang sama,” katanya.