31 OGOS : Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 100,000 orang di Dataran Putrajaya, hari ini dalam cuaca amat baik sepanjang acara.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat menyaksikan sambutan itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan jemaah menteri.
Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 101 yang hadir ke Dataran Putrajaya dengan berkerusi roda.
Bertepatan tema HKHM 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, sambutan tahun ini menekankan komitmen berterusan kerajaan dalam membina sebuah negara maju, harmoni dan sejahtera tanpa mengira latar belakang.
Acara perbarisan dan perarakan tahun ini melibatkan 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam serta 11 kereta berhias dengan penyertaan 10,819 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi dan wakil masyarakat sivil.
Buat julung-julung kalinya, sambutan turut disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 dan kontinjen kluster Kelestarian Ekonomi Jingga.
Sambutan turut diserikan persembahan pergendangan ‘Gema Inovasi MADANI’ yang menggabungkan Rebana Inovasi, Kompang Inovasi serta pelbagai alat muzik tradisional lain.
Persembahan itu melibatkan 150 peserta pergendangan dan 1,500 peserta grafik manusia bagi mencerminkan kepelbagaian warisan seni serta budaya negara.
Kemuncak sambutan turut diserikan persembahan skuadron pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Acara kemudian diakhiri dengan persembahan penutupan ‘Rentak MADANI, Paluan Tradisi’ yang menghimpunkan 2,350 peserta.
