4 SEPT : Pasukan operasi pemadaman udara berdepan kesukaran susulan jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di seluruh Kalimantan semakin memburuk.
Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di stesen Jekan Raya, Palangka Raya, Kalimantan Tengah melonjak kepada 3,540 pada petang tadi, jauh melepasi paras berbahaya iaitu 300.
Bacaan berbahaya turut direkodkan di beberapa lokasi lain termasuk Pontianak Tenggara dengan 737, Gunung Mas (591), Katingan (484), Kotawaringin Timur (458) dan Murung Raya (423).
Pegawai Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata ramalan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan kepekatan bahan pencemar tertinggi pada Jumaat tertumpu di Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan.
“Bagaimanapun, jika kita lihat Kalimantan Utara, khususnya di bahagian utara yang bersempadan dengan Malaysia, kita dapat melihat munculnya kawasan baharu,” katanya pada sidang media harian, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman terus dijalankan menerusi kaedah darat, pengeboman air dan operasi pengubahsuaian cuaca (OMC), walaupun keadaan jerebu dan cuaca tidak mengizinkan operasi udara di beberapa wilayah.
Berton berkata sebanyak 263 titik panas dikesan pada Khamis di enam wilayah keutamaan bagi kawalan kebakaran hutan dan tanah membabitkan 70 di Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat (61), Kalimantan Selatan (56), Riau (30), Sumatera Selatan (26) dan Jambi (20).
Sementara itu, polis Indonesia mengenal pasti 112 suspek berkaitan 167 kes kebakaran hutan dan tanah direkodkan di seluruh negara dari 1 Januari hingga 3 September dengan aktiviti pembersihan tanah dikenal pasti sebagai motif utama.
Pengarah Jenayah Khas Badan Siasatan Jenayah Polis Negara (Bareskrim) Brigedier Jeneral Mohammad Irhamni berkata siasatan mendapati sebahagian kebakaran dilakukan secara sengaja, manakala sebahagian lagi berpunca daripada aktiviti membabitkan penggunaan api terbuka.
Riau mencatatkan jumlah suspek tertinggi dengan 42 orang, diikuti Sumatera Selatan dan Kalimantan Tengah masing-masing 20, Kalimantan Timur (13), Jambi (lapan), Kalimantan Barat (tujuh) dan Kalimantan Selatan (dua).
“Terdapat 55 kes dalam proses siasatan awal dan 77 kes dalam proses siasatan jenayah,” katanya dalam sidang media dalam talian pada Jumaat, sambil menambah kes lain berada pada pelbagai peringkat proses perundangan.
“Kesemua 167 laporan polis melibatkan individu dan tanah yang terlibat kebanyakannya ialah milik persendirian,” katanya.
Ketika ditanya sama ada siasatan boleh diperluas bagi melibatkan syarikat termasuk perniagaan kelapa sawit berskala besar, Irhamni berkata polis akan meneliti secara serius sebarang maklumat menunjukkan penglibatan korporat serta mengambil tindakan tegas sekiranya diperlukan.