12 SEPT : UMNO memberi ruang kepada bahagian dan negeri menentukan pendekatan politik masing-masing mengikut keperluan setempat, namun sebarang hasil rundingan perlu mendapat penelitian Ibu Pejabat parti.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkembangan politik yang tidak lagi seragam menyebabkan parti perlu lebih fleksibel dalam menentukan strategi.
Katanya, pendekatan yang sesuai di sesebuah negeri tidak semestinya boleh diterapkan di negeri lain.
“Biarlah mereka buat apa sahaja perbincangan di peringkat negeri dan apa jua perbincangan mereka itu, mereka perlu bawa ke pengetahuan ibu pejabat dan tiba masanya nanti pengurusan di ibu pejabat akan meneliti setiap apa jua rundingan, perbincangan yang dilakukan.
“Kerana kita seperti yang saya sebut dalam ucapan saya, ‘there’s no one size fits all’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.
Mohamad berkata, perkara itu penting bagi memastikan setiap keputusan politik mengambil kira realiti dan keperluan di negeri berkenaan.
“Kita nak pelbagaikan kerana keadaan dalam politik di tanah air sekarang ni dia tidak seragam lagi. Jadi kita tidak boleh menggunakan satu formula yang boleh diguna pakai untuk semua negeri ni,” katanya.
Mengenai desakan supaya PRU diadakan lebih awal, Mohamad berkata, tempoh lebih tiga tahun selepas pilihan raya lazimnya sudah memasuki fasa yang sesuai untuk parti politik menilai keperluan mendapatkan mandat baharu.
“Sekarang dah lebih daripada tiga tahun, biasanya ‘mood’ untuk buat keadaan pilihan raya itu memang selalunya selepas tiga tahun.
“Jadi sama ada nak dibuat atau tidak itu keperluan kerana parti politik akan sentiasa mahu mengambil mandat yang baru daripada rakyat.”
Mohamad berkata, UMNO juga mahu kembali mendapatkan mandat rakyat bagi menentukan kerajaan yang akan dipilih pada pilihan raya akan datang.
“Jadi UMNO sebagai salah sebuah parti politik yang juga mempunyai kepentingan dalam politik tanah air, kita nak supaya kita mendapat mandat baru daripada rakyat ataupun pengundi kita, agar rakyat boleh memastikan bahawa mereka mahukan kerajaan yang mereka pilih nanti,” katanya.
