28 OKT : Jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diseru melupakan sengketa lalu atas semangat kerjasama baharu yang terjalin di pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama itu menandakan perubahan landskap politik di negeri itu.
“Oleh kerana ini adalah rakan kongsi baharu, rakan strategik kita, walaupun dulu kita alergik dengan hijau dan mereka alergik dengan biru. Namun kini ia berubah dan menjadi satu landskap politik baharu di Melaka.
“Kita lupakan permasalahan yang lalu…kita hadapi 31 Oktober ini sebagai satu pasukan baharu di negeri Melaka ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jentera BN Parlimen Masjid Tanah di Kampung Pulau, malam ini.
Menurut Ahmad Zahid, jentera kedua-dua gabungan perlu disusun sebaiknya bagi memastikan ia mampu bergerak seiring.
Beliau yang juga Presiden UMNO sekali lagi menekankan PN bebas berunding dengan rakan komponennya untuk menentukan agihan terhadap tujuh kerusi yang akan ditandingi pada PRN Melaka, 14 November ini.
“Kita sanggup untuk berikan tujuh kerusi pada mereka dan terserah pada mereka untuk berunding bersama-sama mereka untuk membuat pengagihan,” katanya.
Pada PRN Melaka, BN mempertahankan 21 kerusi DUN yang dimenangi pada pilihan raya lalu dengan 18 calon UMNO, dua calon MCA dan satu calon MIC.
Sementara tujuh lagi kerusi diserahkankan kepada PN untuk diagihkan.
Terdahulu, PN memaklumkan pengumuman calon bagi tujuh kerusi itu akan dibuat pada Khamis.