12 SEPT : UMNO sekali lagi menegaskan akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian berkenaan selaras dengan resolusi yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Katanya, perbezaan pandangan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak mengubah pendirian UMNO berhubung perkara itu.
“Pendirian kita adalah tidak menyanggah mana-mana susuk tubuh, terutama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerana resolusi yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO harus dihormati.
“Kita akan terus bersama-sama Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ada ini hingga akhir penggal. Kita pun tidak tahu bila akhir penggal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam kerajaan gabungan dan perlu dihormati.
Katanya, pemimpin UMNO yang menganggotai jemaah menteri akan terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional.
“Selama kami berada di dalamnya, memang ada perbezaan pendapat tetapi kita ialah anggota jemaah menteri dan juga kepimpinan parti yang profesional.
“Kita mengambil pendirian bahawa perbezaan pendapat itu harus dihormati. Begitu juga kami menghormati perbezaan pendapat yang dilontarkan oleh mereka,” katanya.
