16 SEPT: UMNO Kedah memberi bayangan awal mengenai kemungkinan kerjasama politik dengan PAS Kedah selepas pertemuan tidak rasmi antara pimpinan kedua-dua parti bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, semalam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan pertemuan yang berlangsung dalam suasana santai itu sebagai mesra dan positif, selain membuka ruang kepada perbincangan yang lebih serius pada peringkat seterusnya.
Menurutnya, pertemuan berkenaan turut memberi gambaran awal mengenai kaedah untuk meletakkan sebarang rundingan antara UMNO dan PAS sekiranya kedua-dua parti itu bersetuju bergerak bersama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Saya sifatkan pertemuan itu sangat mesra, positif dan hasilnya ada bayangan awal ke arah perbincangan yang lebih serius di peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mahdzir berkata, pertemuan itu berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah dan turut disertai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man; Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; serta Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi pilihan raya belum disentuh, memandangkan pertemuan itu bukan rundingan rasmi dan masih terlalu awal untuk membincangkan perkara berkenaan.
“Kami bagaimanapun tidak berbincang sebarang topik mengenai pembahagian kerusi pilihan raya kerana itu terlalu awal untuk dibincangkan. Lagipun pertemuan itu bukannya secara rasmi,” katanya.
Pertemuan tersebut juga dilihat sebagai susulan kepada kenyataan Mahdzir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Kuala Lumpur Jumaat lalu, apabila beliau memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS Kedah selepas selesai PAU.
Namun, setakat ini belum ada ketetapan mengenai bila rundingan rasmi antara pimpinan UMNO dan PAS Kedah akan diadakan.
Mahdzir berkata, beliau akan memaklumkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat mengenai hasil pertemuan tidak rasmi itu sebelum langkah seterusnya disusun.
Beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik antara UMNO dan PAS akhirnya perlu diputuskan oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Perkembangan itu membuka ruang kepada kemungkinan wujudnya bentuk kerjasama baharu antara UMNO dan PAS di Kedah menjelang PRU16, namun setakat ini belum ada persetujuan rasmi mengenai bentuk kerjasama, pembahagian kerusi atau mekanisme pilihan raya antara kedua-dua parti.