19 SEPT : Ribuan aduan rakyat yang dikumpulkan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) kini menjadi panduan penting Kerajaan Negeri Melaka dalam menentukan kawasan yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata aduan yang disampaikan rakyat memberi gambaran sebenar masalah di peringkat akar umbi termasuk isu kebajikan, kemudahan awam, jalan rosak dan perumahan.
Menurutnya, maklumat itu membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti lokasi yang memerlukan intervensi serta menyusun keutamaan pembangunan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.
“Jadi kita tahu di mana jalan rosak, di mana yang memerlukan perhatian. Aduan-aduan ini menjadi panduan kerajaan negeri dalam memacu pembangunan Melaka pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena penutup WRUR peringkat Negeri Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, malam tadi.
Ab Rauf berkata, WRUR membuktikan keberkesanannya sebagai saluran untuk kerajaan negeri mendengar sendiri keresahan rakyat sebelum setiap aduan diperhalusi dan tindakan susulan diambil.
“Telah terbukti WRUR adalah medium berkesan mendengar semua keresahan dan aduan yang kemudian diperhalusi untuk disantuni seterusnya diambil tindakan,” katanya.
Program berkenaan sebelum ini merekodkan ribuan aduan daripada masyarakat di seluruh Melaka dengan sebahagian besar daripadanya berjaya diselesaikan.
Perkembangan itu menunjukkan aduan rakyat bukan sekadar menjadi rekod masalah di sesuatu kawasan, sebaliknya digunakan sebagai input untuk menentukan bentuk intervensi dan keutamaan pembangunan negeri.
Kerajaan negeri juga dapat mengenal pasti isu berulang serta kawasan yang memerlukan perhatian berterusan, sekali gus membolehkan tindakan susulan dirancang dengan lebih teratur.
