3 NOV : Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar akui terkilan dengan tindakan parti lawan membuat laporan polis yang menurutnya turut menjejaskan penerima sumbangan sempena Deepavali daripada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata isu berkenaan mengganggunya jika ia sudah melibatkan rakyat di kawasannya itu.
“Tidaklah mengganggu (kempen). Cuma apa yang saya boleh cakap, ia tidak mengganggu saya sehingga ianya mengganggu masyarakat saya. Itu saya rasa terganggu. Kita dimaklumkan bahawa laporan polis…itu bukan sekadar melibatkan saya seorang, melibatkan ramai orang lain seperti termasuk penerima sumbangan daripada MPJ.
“Jadi saya harap perkara begini patutnya dihitung lebih dahulu dengan baik. Fikirkan apakah orang kata kesan dan akibat yang kita boleh berikan secara langsung kepada rakyat yang mana kita harapkan undian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika berkempen di Taman Seri Cempaka, hari ini.
Menurutnya, proses susulan yang perlu dilalui penerima sumbangan boleh membebankan, khususnya mereka yang bekerja syif atau mempunyai kekangan untuk bergerak.
“Jadi saya terkilan dengan tindakan daripada parti lawan, di mana yang bertanding kita berdua, janganlah dimasukkan (libatkan) orang lain. Dia susahkan rakyat. Orang nak ambil (sumbangan), nak beraya.
“Bila mereka terpaksa berhadapan dengan satu proses yang mungkin dilihat ringkas dan mudah tapi berat untuk mereka. Dengan kekangan kehidupan, waktu bekerja yang mengikut shift, ruangan yang mungkin agak ketat untuk sesetengah mereka nak keluar rumah ke sana-kemari, anak yang tiada di rumah nak bawa maknya ke sana-kemari,” katanya.
Semalam, satu laporan polis dibuat wakil Pakatan Harapan, Siti Aishah Shaik Ismail terhadap Dira dengan dakwaan dakwaan menyalahgunakan jentera dan premis kerajaan ketika berkempen.
Difahamkan ketika kejadian, sedang berlangsung majlis penyampaian sumbangan Deepavali, bakul makanan yang tertera logo MPJ di Kompleks Japerun Rim.
Sementara Dira bersama pegawai-pegawai dan penyokong hadir ke Kompleks Japerun Rim bagi melawat kawasan pengundian pos yang berlangsung, semalam.
Dalam pada itu, Dira yang juga penyandang kerusi tersebut berkata pihaknya sudah memberi kerjasama kepada pihak polis berkait perkara itu.
Beliau yang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Rim pada penggal lalu berkata aktiviti ziarah dan kebajikan memang dilakukan sepanjang tahun, bukan hanya ketika musim pilihan raya.
Mengulas soal pembangunan di kawasan RIM, Dira berkata beliau sudah cuba menyelesaikan sehabis baik isu infrastruktur asas demi kemudahan penduduk pada penggal lalu dan masih ada yang belum selesai.
Namun katanya, soal pembangunan di situ tidak boleh disamakan dengan kawasan lain.
“Jadi soal infrastruktur yang asas tu memang kita akan cuba sehabis mungkin untuk selesaikan dan sepanjang lima tahun pertama pun kita dah usahakan beberapa dari segi pembangunan yang mengikut keperluan dan kemampuan juga penduduk di dalam ni.”
“DUN Rim ini di luar bandar, kita tak bolehlah tiba-tiba nak buka kedai mahal-mahal dan di luar kemampuan, rumah besar-besar sangat, yang mana akhirnya tidak pun memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di sini,” katanya.