KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius berhubung sebuah pementasan yang dipercayai menyentuh sensitiviti agama Islam, bangsa dan identiti negara.
2. JAKIM menyokong pendirian YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kebebasan berkarya mesti sentiasa berbingkaikan adab dan tanggungjawab, di samping menghormati agama, kaum dan institusi diraja serta mematuhi batasan yang ditetapkan melalui peruntukan undang-undang.
3. Sehubungan dengan itu, JAKIM telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk penelitian dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkusa.
4. JAKIM menggesa pihak yang terlibat agar menghentikan sebarang bentuk pementasan, penyiaran dan penyebaran kandungan yang bersifat provokatif, menyentuh sensitiviti agama dan kaum, serta bercanggah dengan adab, tatasusila dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
5. JAKIM turut menyeru semua penganjur dan pengkarya supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam penghasilan dan pementasan karya, khususnya apabila melibatkan agama, kaum dan institusi diraja. Kreativiti dan kebebasan berkarya wajar disuburkan dalam kerangka yang menghormati kepelbagaian masyarakat serta memelihara keharmonian negara.
Sekian, terima kasih.
DATU DR SIRAJUDDIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA