24 SEPT : Pihak berkuasa digesa mengkaji kembali arahan melarang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan daripada memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata arahan berkenaan hanya disampaikan secara lisan tanpa sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak yang berkuat kuasa sejak semalam.
“Tapi ini arahan verbal (lisan) ya, sebab itu saya kena buat kenyataan terbuka ini. Saya menyerulah pihak berkuasa, tanpa alasan ataupun sebab-sebab tertentu dan tanpa arahan bertulis dan sebagainya, saya minta sangat dikaji semula perkara ini.
“Benarkan Exco masuk, benarkan mereka menjalankan tugas seperti biasa, dan mesyuarat Kerajaan Negeri MMK mesti diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung kemelut di negeri itu, hari ini.
Beliau menegaskan, kesemua exco masih sah mengikut undang-undang berikutan pemecatan mereka dilakukan tanpa nasihat daripadanya.
Tegasnya pemecatan atau pemberhentian exco tertakluk kepada Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memerlukan nasihat serta pandangan Menteri Besar.
“Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana exco. Dengan itu, exco yang sedia ada adalah sah dan sepatutnya menjalankan tugas seperti biasa.
“Mesyuarat exco perlu diteruskan kerana banyak perkara yang dibincangkan melibatkan tuntutan, pembangunan, serta bantuan untuk rakyat.
“Jika ini tersekat tanpa alasan yang munasabah, ia merupakan satu penafian kepada hak rakyat,” katanya.
Pada 16 September, barisan Exco Negeri Sembilan memutuskan secara sebulat suara bahawa proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 adalah sah.
Namun pada 17 September 2026, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran negeri tidak akan mewartakan atau mengambil tindakan pelaksanaan terhadap Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz kemudiannya membatalkan pelantikan kesemua exco berkuat kuasa, serta-merta pada 20 September lalu namun Ismail menegaskan kesemua exco tersebut masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.