24 SEPT: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menegaskan notis yang dikeluarkan kepada Perikatan Nasional (PN) kelmarin bukan keputusan pembatalan pendaftaran.
Sebaliknya, jabatan itu memaklumkan notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi PN memberikan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu.
“RoS menegaskan bahawa notis tersebut bertujuan untuk meminta PN memberikan penjelasan berkenaan aduan yang dilaporkan oleh Bersatu kepada RoS dan notis tersebut bukan keputusan pembatalan pendaftaran,” menurut kenyataan it, hari ini.
Susulan pengeluaran notis itu, JPPM turut mengeluarkan perintah penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta 832 yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa, 23 September.
Menurut jabatan itu juga, perintah penggantungan berkenaan bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.
RoS pada masa sama menyeru semua pihak supaya merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan jabatan berkenaan serta mengelakkan spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
Terdahulu, PN mempersoalkan asas keputusan RoS selepas menerima notis pembatalan pendaftaran pada ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berlaku.
Justeru itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan pihaknya mengambil tindakan undang-undang terhadap jabatan itu.