24 SEPT : Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan asas keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) selepas menerima notis pembatalan pendaftaran pada ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berlaku.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kedua-dua notis dan perintah RoS itu diserahkan kepada PN pada 22 dan 23 September lalu, masing-masing bertepatan dengan pengumuman serta tarikh kuat kuasa pembubaran DUN Melaka.
“PN mengambil maklum keputusan RoS namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Takiyuddin memaklumkan PN menerima notis di bawah subseksyen 13(2), Akta Pertubuhan 1966 membabitkan cadangan pembatalan pendaftaran PN dengan gabungan berkenaan diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan sebab.
Takiyuddin yang juga seorang peguam berkata cadangan tersebut berkait dengan aduan Bersatu terhadap gabungan itu berhubung satu mesyuarat pada 16 Julai 2026.
Susulan notis berkenaan, PN turut menerima perintah di bawah subseksyen 13(2A), Akta Pertubuhan 1966 yang mengarahkan penggantungan semua kegiatannya sehingga tarikh yang tidak ditentukan.
Beliau berkata PN tidak menolak kemungkinan tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan agenda berniat jahat dan tekanan politik.
Justeru itu, Takiyuddin berkata PN kini mengambil langkah melalui saluran undang-undang yang tersedia selain berjanji memberikan maklumat serta dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus.
“PN sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya.
“PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN.
Pada masa sama, beliau menyeru ahli dan penyokongnya supaya bertenang sementara perkara berkenaan diuruskan.
Selain itu, mana-mana pihak juga dilarang mengeluarkan kenyataan bagi pihak PN, kecuali Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Takiyuddin.