29 SEPT : Titah cadangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkaitan penubuhan Majlis Tahfiz Negara akan diteliti dan diperhalusi bersama pihak berkaitan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, titah baginda mengenai keperluan mengimbangi pendidikan agama, pendidikan arus perdana serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) memberikan pedoman yang amat bermakna dalam membentuk masa depan pendidikan tahfiz negara.
“Patik merafak sembah menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-57, khususnya berhubung cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara.
“Insya-Allah, cadangan yang dizahirkan baginda akan diteliti dan diperhalusi sebaiknya bersama pihak-pihak berkaitan dalam usaha memperkukuh ekosistem tahfiz negara dan melahirkan generasi al-Quran yang mampu menyumbang kepada ummah serta negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sebagai respons kepada titah Sultan Muhammad V sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-57 di Istana Balai Besar, Kelantan.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Tahfiz Negara, usaha itu penting bagi melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja teguh hafazannya dan tinggi kefahaman agamanya, tetapi turut menguasai ilmu, kemahiran serta bidang profesional.
“Kita mahu melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja teguh hafazannya dan tinggi kefahaman agamanya, tetapi turut menguasai ilmu, kemahiran dan bidang profesional.
“Al-Quran menjadi asasnya, ilmu memperluas pemikirannya dan kemahiran membuka masa depannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid turut mendoakan Sultan Muhammad V terus dikurniakan keafiatan, kebijaksanaan dan keberkatan dalam menaungi rakyat.
Baginda menzahirkan kesyukuran terhadap perkembangan terkini berkait Majlis Tahfiz Negara oleh kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah, perancangan itu selari dengan visi kerajaan negeri untuk membina dua maahad tahfiz di Gua Musang dan Kuala Krai, sekali gus melengkapkan ekosistem pendidikan agama dan tahfiz di Kelantan.
Dalam kenyataan berasingan, Ahmad Zahid merafak sembah dan menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-57 Sultan Muhammad V.
“Patik dengan penuh takzim mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan, kesejahteraan serta pemerintahan yang terus diberkati demi kemakmuran Negeri Kelantan Darul Naim dan seluruh rakyatnya. Daulat Tuanku,” katanya.