KEMENTERIAN KEWANGAN
KENYATAAN MEDIA
S&P Global Ratings (S&P) mengekalkan semula penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-‘ dengan tinjauan Stabil, berdasarkan daya tahan dan kepelbagaian ekonomi negara, momentum pertumbuhan yang berterusan, konsolidasi fiskal secara berperingkat, fleksibiliti dasar monetari yang kukuh serta kedudukan luaran yang sentiasa menyokong.
Unjuran Stabil mencerminkan jangkaan S&P bahawa momentum pertumbuhan Malaysia dan persekitaran dasar semasa akan menyokong prestasi fiskal yang stabil dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Dalam kenyataan media, S&P menjangkakan ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 5.5% pada 2026, selepas berkembang sebanyak 5.2% pada 2025 dan 5.7% tahun ke tahun pada separuh pertama 2026. S&P mengunjurkan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 5.0% bagi tempoh 2026-2029 dan purata pertumbuhan KDNK benar per kapita wajaran 10 tahun Malaysia pada 3.7%, lebih tinggi daripada median global berbanding negara pada tahap pendapatan yang setara. Ini mencerminkan keyakinan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kekuatan dan daya tahan ekonomi Malaysia.
“Sejak peluncuran Ekonomi MADANI, kita telah melaksanakan reformasi secara berperingkat dan tersusun. Tuntutan memperkukuh asas fiskal bukanlah alasan untuk membelakangkan keperluan mengekalkan pertumbuhan, apatah lagi melindungi rakyat daripada gejolak luaran,” kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Penilaian S&P ini menggalakkan. Pertumbuhan per kapita Malaysia kekal kukuh berbanding negara setara, meskipun berdepan persekitaran global yang semakin mencabar. Pada masa sama, kita terus melindungi rakyat daripada tekanan inflasi luaran,” tambah beliau.
Pengekalan penarafan ini turut disokong oleh perkembangan ekonomi terkini dengan peningkatan penghantaran produk elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor susulan kitaran pelaburan global berkaitan kecerdasan buatan (AI), di samping peningkatan eksport tenaga dan penggunaan isi rumah yang memberangsangkan.
S&P turut menyatakan bahawa ekosistem E&E Malaysia yang matang serta inisiatif dasar termasuk kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) berpotensi menyokong pengembangan ekonomi dalam jangka masa panjang. S&P juga menyatakan bahawa Malaysia muncul sebagai destinasi pelaburan pusat data terkemuka di Asia Tenggara, dengan anggaran pelaburan terkumpul sebanyak RM386 bilion antara 2021 hingga pertengahan 2026.
Dari segi pengurusan fiskal, Agensi Penarafan Kredit tersebut mengiktiraf konsolidasi fiskal Malaysia yang berterusan. Defisit fiskal telah mengecil daripada 6.4% daripada KDNK pada tahun 2021 kepada 3.7% pada tahun 2025, mencerminkan usaha berterusan Kerajaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh daya tahan fiskal melalui peningkatan hasil, keutamaan perbelanjaan dan subsidi yang lebih bersasar, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kesejahteraan rakyat. Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) menyediakan kerangka bagi tadbir urus fiskal, ketelusan dan pengurusan risiko yang lebih kukuh; S&P turut menyatakan akta tersebut mendapat sokongan dwipartisan dan akan menjadi panduan kepada kerangka fiskal jangka masa sederhana Malaysia.
Kedudukan luaran Malaysia kekal sebagai sumber daya tahan yang penting, disokong oleh asas eksport yang kukuh dan pelbagai serta rekod lebihan akaun semasa selama lebih dua dekad. S&P menjangkakan lebihan akaun semasa akan stabil pada sekitar 1.8% daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun akan datang. S&P turut menilai Bank Negara Malaysia sebagai mempunyai tahap kebebasan yang tinggi serta kredibiliti dasar monetari yang kukuh, dengan inflasi dijangka kekal stabil.
Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus mempergiat reformasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026- 2030, dengan terus memberikan penekanan kepada kemampanan fiskal, produktiviti dan daya saing, serta memastikan pertumbuhan yang lebih kukuh diterjemahkan kepada peluang dan kesejahteraan yang lebih baik untuk rakyat.
“Tanggungjawab kita sekarang adalah memastikan pertumbuhan yang lebih kukuh diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang yang lebih luas dan taraf hidup yang lebih baik. Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober akan memperkenalkan langkah seterusnya untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat,” kata Datuk Seri Anwar.
KEMENTERIAN KEWANGAN