30 SEPT : Bekas Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memperdayakan lembaga pengarah berhubung penukaran hak milik 16 geran tanah milik agensi itu di Mukim Setapak, 12 tahun lalu.
Datuk Faizoull Ahmad, 66 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, hari ini, lapor Astro Awani.
Mengikut pertuduhan, Faizoull didakwa secara tidak jujur menyembunyikan fakta bahawa surat kuasa wakil (Power of Attorney) bertarikh 3 Jun 2014 memberikan kuasa kepada Synergy Promenade Sdn Bhd.
Surat itu berkait cadangan pembangunan Lot Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang membabitkan 16 geran tanah milik Felda.
Faizoull didakwa secara tidak jujur mendorong Lembaga Pengarah Felda bersetuju dengan surat kuasa wakil berkenaan sehingga menyebabkan tanah terbabit ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade Sdn Bhd.
Mengikut pertuduhan, Lembaga Pengarah Felda tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Faizoull didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, selain sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Faizoull diikat jamin RM70,000 dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 November ini.