14 NOV : Semua penerbangan di seluruh Amerika Syarikat (AS) digantung sementara susulan gangguan sistem komunikasi kawalan trafik udara sebelum operasi dibenarkan beroperasi semula beberapa jam kemudian.
Bagaimanapun, Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy berkata, pemulihan jadual penerbangan tidak dapat dilakukan serta-merta berikutan gangguan itu menyebabkan kekecohan di lapangan terbang, termasuk penumpang terkandas dan kelewatan penerbangan.
“Kekecohan yang berlaku dalam sektor perjalanan udara ini tidak dapat diselesaikan serta-merta dan memerlukan masa untuk kembali normal,” katanya.
Sebelum ini, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan pemberhentian sementara semua penerbangan atas faktor keselamatan selepas masalah komunikasi dikesan dalam sistem kawalan trafik udara negara itu.
White House memaklumkan gangguan berkenaan berpunca daripada masalah komunikasi sistem dan bukannya insiden keselamatan.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Markwayne Mullin turut menegaskan tiada bukti menunjukkan kejadian itu mempunyai kaitan dengan serangan siber atau ancaman terhadap negara berkenaan.
“Tiada sebarang petunjuk bahawa ini adalah serangan terhadap Amerika Syarikat. Keselamatan orang ramai tidak terjejas,” katanya.
Gangguan berkenaan turut memberi kesan kepada penerbangan antarabangsa apabila FAA meminta syarikat penerbangan dari luar negara menangguhkan pelepasan pesawat menuju ke AS, termasuk beberapa penerbangan dari Eropah.
Insiden itu dilaporkan sebagai arahan pemberhentian penerbangan terbesar di AS sejak negara itu menghentikan operasi penerbangan susulan serangan pengganas pada 11 September 2001.
Pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada pemulihan sistem komunikasi yang terjejas, selain mengurangkan kesesakan dan kelewatan penerbangan di lapangan terbang utama negara itu.