30 SEPT : Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh tampil menjawab persoalan harga penyelenggaraan Jejantas Tun Teja bernilai RM2.075 juta yang dibangkitkan Timbalan Pengerusi PH Melaka, Khoo Poay Tiong.
Beliau menegaskan harga yang dipertikai wakil rakyat DAP itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan selama tiga tahun sehingga tahun 2029.
“Jadi, YB Khoo Poay Tiong dengar ni betul-betul…RM2.075 juta itu bukanlah untuk one-off. Itu adalah untuk kita buat penyelenggaraan dan juga pembersihan selama tiga tahun. Bermula 1 Julai 2026 sehinggalah 30 Jun 2029.
“Maksudnya RM2.075 juta itu adalah harga siling untuk penyelenggaraan jejantas dan juga pembersihan selama tiga tahun, yang mana lebih kurang dalam RM50,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu klip video yang dimuat naik di akaun media sosialnya, hari ini.
Terdahulu, Khoo yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka melalui satu kenyataan di Facebook mempertikai jumlah tersebut dan menuntut kerajaan menjelaskan skop kerja penyelenggaraan itu secara terbuka.
Dalam pada itu, Akmal menjelaskan harga yang perlu dibayar kerajaan negeri hanya bagi mana-mana bahagian yang diganti.
“YB, sebenarnya kalau tak perlu ganti, hanya bayar kepada yang diganti sahaja. Kalau tak perlu diganti, maka tak perlu bayar.
“Jadi kenapa kita letak RM2.075 juta? Ini adalah estimation untuk 3 tahun kerja ni. Jika diperlukan dalam tiga tahun hanya RM1 juta, maka RM1 jutalah kerajaan bayar,” katanya.
Beliau juga menjangkakan nilai sebenar yang perlu dibayar kerajaan dalam tempoh tersebut bagi tujuan penyelenggaraan kurang daripada jumlah yang ditetapkan.
Akmal berkata selain disiarkan melalui Sistem Tender Online Melaka (STOM), kerajaan juga mengeluarkan surat pelawaan kepada 19 syarikat namun hanya satu syarikat yang berminat.
“Kita keluar daripada 14 Mei sehingga 3 Jun tapi yang masuk hanyalah satu syarikat sahaja, maka proseslah satu syarikat. Sebab tulah satu syarikat ni yang dapat.
“Jadi tak adalah dolak-dalih bahawa kita nak letakkan kroni dan sebagainya,” jelasnya lagi.
