Belanjawan 2027: Kerajaan teliti tekanan kos perusahaan kecil
1 OKT : Kerajaan akan meneliti tekanan kos perolehan dan operasi yang dihadapi perusahaan kecil susulan krisis bekalan global dalam merangka Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara isu yang dibangkitkan wakil persatuan dan syarikat kontraktor Bumiputera dalam sesi libat urus Belanjawan 2027 di Perdana Putra, Putrajaya pada Rabu.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelbagai pandangan dan cadangan berkaitan tekanan kos, akses kepada peluang serta usaha memperkukuh daya saing perusahaan sudah diambil maklum untuk diteliti dalam penyediaan belanjawan berkenaan.
“Sewaktu sesi libat urus Belanjawan 2027 bersama wakil persatuan dan syarikat kontraktor Bumiputera, antara yang dibangkitkan adalah kesulitan dihadapi perusahaan kecil merentas pelbagai industri, khususnya dalam mendepani tekanan kos perolehan dan operasi akibat krisis bekalan global.
“Segala pandangan dan cadangan, khususnya berkaitan tekanan kos, akses kepada peluang dan usaha memperkukuh daya saing perusahaan, telah diambil maklum untuk diteliti sewajarnya dalam merangka Belanjawan 2027,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Anwar berkata, kerajaan MADANI akan memastikan Belanjawan 2027 membuka ruang dan peluang lebih luas kepada rakyat serta perusahaan untuk membina kemampuan.
“Kerajaan MADANI akan memastikan Belanjawan 2027 ini dapat membuka ruang dan peluang yang lebih luas agar rakyat dan perusahaan dapat membina kemampuan serta mengangkat maruah anak watan,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.
