8 OKT : Kes berkaitan dana Yayasan Akalbudi kembali menjadi perhatian selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara (AG) hari ini mendapat kebenaran untuk membawa cabaran terhadap keputusan Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah membuat keputusan itu secara sebulat suara, hari ini.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Mahkamah berpandangan kes itu membabitkan beberapa persoalan berkaitan Perlembagaan yang penting dan memerlukan penjelasan serta keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.
Panel turut mendapati Timbalan Perdana Menteri itu dan Peguam Negara memenuhi syarat untuk mendapatkan kebenaran merayu di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Keputusan hari ini berkait rapat dengan perkembangan pada 7 Mei lalu apabila Mahkamah Rayuan membenarkan Majlis Peguam meneruskan cabaran terhadap keputusan Peguam Negara menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Mahkamah Rayuan ketika itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini menolak permohonan Majlis Peguam untuk memulakan semakan kehakiman.
Kes berkenaan bermula selepas Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi pada September 2023.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memaklumkan hasrat untuk menghentikan prosiding bagi meneliti bahan dan keterangan baharu.
Pada Januari tahun ini, Jabatan Peguam Negara dilaporkan memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap kes berkenaan selepas meneliti bahan serta keterangan baharu.
Bagaimanapun, keputusan itu kemudian dicabar Majlis Peguam melalui proses semakan kehakiman.
Susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei, Ahmad Zahid memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan lima persoalan undang-undang.
Dengan kebenaran yang diberikan hari ini, persoalan undang-undang berkenaan akan dibawa ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Prosiding cabaran Majlis Peguam di Mahkamah Tinggi sebelum ini turut ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan kebenaran merayu tersebut.