13 OKT : Seorang lelaki Islam berusia 21 tahun yang disyaki melakukan ritual agama lain ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah hari tadi.
Lelaki itu ditahan bersama ibunya yang berusia 52 tahun di Kuala Lumpur menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Shah Alam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata penahanan itu dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Kedua-dua Orang Yang Disyaki (OYDS) kini sedang disiasat oleh JAIS mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Berdasarkan risikan selepas kes membabitkan OYDS ini tular, JAIS juga dijangka akan memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata JAIS memandang serius perkara itu dan akan memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, undang-undang serta fakta kes.
Sebelum ini, JAIS memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap individu yang disyaki melakukan perbuatan melanggar hukum syarak dengan menyertai ritual agama lain ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.