13 OKT : Pemantauan keselamatan Empangan Linggiu di Johor terletak di bawah tanggungjawab Public Utilities Board (PUB) Singapura dan tidak termasuk dalam skop pemantauan Pusat Empangan Negara (PEN), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata pengurusan, penyelenggaraan dan pemantauan penuh empangan itu dilaksanakan PUB selaras dengan Perjanjian Air Sungai Johor 1962 dan Perjanjian Tambahan 1990.
Beliau berkata, PUB menjalankan pemeriksaan keselamatan Empangan Linggiu setiap tahun, manakala pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan setiap lima tahun dengan melibatkan pemeriksa empangan bertauliah.
“PUB turut membentangkan status keselamatan empangan kepada Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) secara berkala,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, mekanisme berkenaan membolehkan aspek keselamatan dan integriti struktur empangan diteliti, selain mengenal pasti keperluan tindakan susulan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mengenai tahap keselamatan struktur Empangan Linggiu, pemantauan berkala serta keberkesanan pasukan khas Flying Squad dalam mengaudit integriti struktur empangan itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadillah berkata, pasukan khas Flying Squad keselamatan empangan beroperasi dari 2018 hingga 2022 dan melaksanakan pemeriksaan terhadap 41 empangan di seluruh negara.
Pada 2025, PEN ditubuhkan bagi memperkukuh pengurusan keselamatan empangan di peringkat nasional melalui pemeriksaan keselamatan, penyelarasan dengan pemilik dan pengendali empangan, sokongan teknikal serta penilaian amalan keselamatan.
Katanya, PEN memantau 107 empangan yang diuruskan agensi dan pengendali di bawah seliaan pihak berkuasa Malaysia.
Bagaimanapun, Empangan Linggiu tidak termasuk dalam skop pemantauan itu kerana dikendalikan PUB Singapura.
Sehubungan itu, sebarang urusan mendapatkan maklumat atau penyelarasan teknikal berkaitan keselamatan dan integriti struktur Empangan Linggiu perlu dilaksanakan melalui BAKAJ dan PUB Singapura, tertakluk kepada bidang kuasa serta persetujuan pihak berkaitan.
Fadillah berkata, PETRA melalui PEN akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan agensi berkaitan bagi memastikan isu keselamatan empangan yang dikenal pasti dapat diteliti dan ditangani, khususnya demi melindungi penduduk di kawasan hiliran.