19 OKT : Barisan Nasional (BN) perlu mengubah pendekatan kempen dengan memberi tumpuan kepada pengundi baharu susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang menjadi cabaran menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jentera parti tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional, sebaliknya perlu mempergiat usaha mendekati kelompok pengundi yang corak sokongannya sukar dijangka.
Beliau berkata, perubahan sistem pendaftaran pemilih menyebabkan parti tidak lagi boleh menjangkakan sokongan berdasarkan senarai pengundi yang dikenal pasti, sebelum ini.
“Kalau dulu, kita boleh daftar pemilih, ambil nama-nama pemilih dan simpan dalam bakul kita. Kita boleh tahu, kalau bertanding di sini, kita boleh menang.
“Tetapi apabila pengundi baharu dibenarkan mengundi, bukan sahaja mereka berusia 18 tahun, malah mereka yang berusia 60 tahun tetapi tidak pernah mengundi juga boleh mengundi.
“Kita tidak tahu siapa mereka dan dari mana datangnya kerana secara automatik mereka menjadi pemilih…akhirnya kita tewas kerusi Parlimen Alor Gajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Alor Gajah di Dewan Kampung Permai Machap Umboo pada Ahad.
Ketua Menteri Melaka itu berkata, kemenangan besar gabungan berkenaan pada PRN Melaka 2021 tidak menjamin kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apabila BN tewas di kesemua enam kerusi Parlimen di negeri itu.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri dan Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi dua kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRN Melaka pada 31 Oktober ini diikuti pengundian awal pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.
