KENYATAAN MEDIA
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA
Hari ini telah dijalankan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-16 di 28 Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh Negeri Melaka. Selepas tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi, seramai 79 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam PRU DUN Melaka ke-16.
SPR telah menerima dan mengesahkan sebanyak 79 Kertas Penamaan yang layak bertanding bagi Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-16 daripada pihak-pihak seperti berikut:
- Pakatan Harapan (PH) 24
- Barisan Nasional (BN) 23
- Parti Bersama Malaysia (Bersama) 16
- Bersatu 7
- Perikatan Nasional (PN) 5
- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) 1
- BEBAS 3
Nota:Tiada pencalonan yang ditolak.
Pertandingan Mengikut Penjuru
Secara keseluruhannya, bilangan pertandingan mengikut penjuru adalah seperti berikut:
- 2 penjuru – 11
- 3 penjuru 11
- 4 penjuru 6
Calon Yang Bertanding Mengikut Jantina
Bilangan calon yang bertanding mengikut jantina adalah seperti berikut:
- Lelaki – 65
- Wanita – 14
Calon Yang Bertanding Berdasarkan Umur
Bilangan calon yang bertanding berdasarkan julat umur adalah seperti berikut:
- 18-29 tahun : 2 orang
- 30-39 tahun : 14 orang
- 40-49 tahun : 33 orang
- 50-59 tahun : 22 orang
- ≥ 60 tahun : 8 orang.
Umur calon tertua dan calon termuda yang bertanding
adalah seperti berikut:
CALON TERTUA
DUN N.23 TELOK MAS – MOHAMAD JAAFAR (PAKATAN HARAPAN) 66 tahun
CALON TERMUDA
DUN N.01 KUALA LINGGI – MUHAMMAD MUKHLISUL MUBIN JULASAPIYAH
(PAKATAN HARAPAN) 24 tahun

Tempoh Rasmi Berkempen
Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 13 November 2026 (Jumaat).
SPR telah menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding sepanjang tempoh berkempen.
Calon-calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya.
Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, risalah, brosur, bendera, sepanduk, surat sebaran, pelekat dan poster atau apa-apa bentuk papan iklan sementara hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya KECUALI bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding.
Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah TIDAK DIBENARKAN dan ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
SPR juga berharap dan mengingatkan agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Untuk makluman, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuka bilik gerakan yang beroperasi selama 24 jam bermula dari 31 Oktober 2026 sehingga 14 November 2026. Bilik Gerakan SPRM beroperasi di Pejabat SPRM Negeri Melaka di Jalan Alai Perdana, Taman Alai, 75460, Melaka. Aduan juga boleh dibuat menerusi talian telefon di 06-2896303 (talian Bilik Gerakan) atau 06-2896000 (pejabat am) atau menerusi aplikasi WhatsApp 24 jam di 011-26791569. Sebarang aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa juga boleh disalurkan menerusi e-mel di prnmlk@sprm.gov.my.
Bagi memudahkan urusan liputan media sepanjang PRU DUN Melaka ke-16, Kementerian Komunikasi mengoperasikan Pusat Media PRU DUN Melaka Ke-16 bermula 30 Oktober 2026 hingga 14 November 2026, dari jam 9 pagi hingga 7 malam, bertempat di Hotel Mudzaffar, MITC Ayer Keroh, Melaka. Selain itu, sebanyak 39 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Negeri Melaka turut diaktifkan sebagai Pusat Media Sokongan dengan waktu operasi dari 9 pagi hingga 6 petang yang menyediakan kemudahan ruang kerja serta capaian Internet berkelajuan tinggi dan stabil kepada petugas media sepanjang proses pilihan raya ini berlangsung.
SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar pada hari ini.
Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka serta Jabatan dan Agensi di bawahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, Kementerian Komunikasi, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
PENGERUSI
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA
DATUK SERI RAMLAN HARUN