1 NOV : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai susulan dakwaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas yang dikaitkan dengan beberapa pegawai Imigresen di Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius dakwaan yang dilaporkan media serta dibangkitkan menerusi pelbagai platform media sosial itu.
Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan perkara berkenaan diminta menyalurkannya secara rasmi kepada JIM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Menurutnya, pendedahan maklumat secara terbuka sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa dikhuatiri memberi ruang kepada pihak terbabit menghentikan kegiatan, mengubah modus operandi atau menghapuskan bahan bukti.
“JIM menegaskan bahawa Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran integriti oleh mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
“Penyaluran maklumat secara terus kepada pihak berkuasa amat penting bagi memastikan kerahsiaan maklumat dan integriti bahan bukti dapat dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, seramai 849 pegawai Imigresen dikenakan tindakan tatatertib secara kumulatif bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026, termasuk 73 pegawai yang dikenakan hukuman buang kerja.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, seramai 96 pegawai dikenakan tindakan tatatertib dengan 18 daripadanya dibuang kerja.
Beliau berkata, statistik itu mencerminkan ketegasan JIM mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati melanggar peraturan tatatertib tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Katanya, JIM juga akan terus memperkukuh aspek integriti, pematuhan prosedur dan kawalan dalaman bagi memastikan semua urusan perkhidmatan dilaksanakan secara telus serta mengikut undang-undang.