4 NOV : Seramai 5.4 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menerima bayaran Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion secara berperingkat mulai hari ini hingga 6 November.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembayaran bagi penerima sedia ada akan dikreditkan mengikut jadual berkenaan, manakala penerima baharu dan pemohon rayuan yang diluluskan akan menerima bantuan mulai 16 November ini.
Daripada keseluruhan penerima, 4 juta membabitkan isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah manakala 1.4 juta lagi terdiri daripada warga emas tiada pasangan.
Mengikut kategori kelayakan, isi rumah akan menerima bayaran sehingga RM500, sementara warga emas tiada pasangan layak menerima RM150.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencerminkan usaha kerajaan mengagihkan hasil negara kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau lokasi.
“Kekuatan negara menuntut kita menegakkan keadilan untuk semua kelompok masyarakat, meskipun di kota atau di desa, tanpa mengira kaum dan agama. Oleh itu, melalui STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Kerajaan MADANI mengagihkan sebahagian hasil negara kepada kelompok yang memerlukan agar kita semua dapat mengecapi kehidupan yang lebih bermaruah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika tinjauan persiapan sambutan Deepavali di Brickfields, hari ini.
Menurutnya, penyaluran bantuan itu diharap dapat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga, khususnya masyarakat India yang menyambut Deepavali, selain membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.
“Menjelang sambutan Deepavali, besarlah harapan saya agar penyaluran STR Fasa 4 ini dapat sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya, khususnya kaum India yang merupakan antara penerima utama STR dengan lebih 630,000 penerima, di samping membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun. Bantuan ini melengkapi usaha Kerajaan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.
Bagi penerima yang mempunyai akaun bank, bayaran akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing, manakala mereka yang tidak mempunyai akaun bank boleh menuntut bantuan secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut sudah diberikan peringatan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Mereka disaran mengemas kini maklumat melalui portal rasmi STR bagi membolehkan kelayakan bantuan disemak semula untuk tahun 2027, sekali gus memastikan penyaluran bantuan dibuat berdasarkan maklumat terkini.
Sementara itu, peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi 2026 berjumlah RM15 bilion, hampir tiga kali ganda berbanding pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.
Orang ramai boleh membuat semakan status dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai STR menerusi portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat SARA boleh dirujuk di sara.gov.my.
Kementerian Kewangan turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan serta hanya merujuk portal rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini.
