8 NOV : Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menyaksikan calon BN, PH dan Bersama bertembung ketika menyantuni orang ramai di Taman Seri Telok Emas pada Sabtu.
Pertemuan itu berlangsung dalam suasana mesra apabila mereka sempat bersalaman dan bertegur sapa.
Mereka ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Jaafar dan calon Bersama, Muhammad Hazwan Mustafa.
Suasana harmoni itu dikongsi Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Tok Ajak di Facebook beliau.
“Apa pun silaturahim kena jaga,” pesan Tok Ajak dalam klip video dikongsi itu.
Pertemuan itu turut disertai Ahli Parlimen PH, Mohd Sany Hamzan yang mengambil kesempatan menyeru pengundi di kawasan berkenaan supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, 14 November ini.
Beliau turut mengajak pengundi membuat pilihan masing-masing dengan mengundi calon yang dirasakan layak mewakili mereka di DUN Telok Mas.
Walaupun ketiga-tiga calon bersaing merebut kepercayaan pengundi di kerusi berkenaan, pertemuan itu memperlihatkan suasana kempen yang berlangsung dalam semangat penuh harmoni.