11 NOV : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kemelut politik di Negeri Sembilan dapat diselesaikan dalam masa terdekat menerusi rundingan yang sedang diusahakan kepimpinan UMNO pusat dan negeri bersama Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar, terutama menjelang pembentangan belanjawan yang dijadualkan berlangsung, bulan ini.
“Insya-Allah itu sedang kami lakukan di bawah kepimpinan UMNO Pusat dan kepimpinan UMNO Negeri Sembilan bersama-sama dengan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Kita berikan keutamaan untuk memberikan perkhidmatan pada rakyat terutamanya menjelang pembentangan belanjawan di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita hari ini selepas program ceramah bersama calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Rafie Ahmad, malam ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sidang khas bagi membentangkan belanjawan negeri memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selain berharap ia dapat diadakan dalam bulan ini.
“Adalah mustahil sidang belanjawan ini dapat dilakukan jika tidak mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Negeri Sembilan maka kami amat yakin pada Tuanku juga mempunyai pertimbangan sendiri untuk memperkenankan supaya sidang khas belanjawan ini dapat diadakan dalam bulan ini juga, insya-Allah,” katanya.
Mengulas kemungkinan kerajaan negeri sedia ada terus berfungsi, Ahmad Zahid berkata, kelancaran sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kelulusan belanjawan akan membantu memastikan urusan pentadbiran dapat diteruskan.
Beliau turut yakin penyelesaian boleh dicapai sekiranya semua pihak bersedia mencari titik persamaan demi memastikan Negeri Sembilan terus ditadbir dengan baik.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyeru jentera BN di Paya Rumput supaya memberikan sokongan kepada calon PN selaras kerjasama yang dimetrai kedua-dua gabungan itu pada PRN Melaka kali ini.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan perlu diterjemahkan melalui sokongan dua hala, termasuk jentera PAS membantu calon BN di kawasan yang ditandingi parti itu.
“Alhamdulillah, setelah lima tahun inilah pertama kali saya berada di pentas bersama-sama dengan kepimpinan PAS dan jentera PAS. Saya harap di Paya Rumput ini seluruh jentera BN akan menyokong dan juga membantu calon di Paya Rumput ini, Tuan Haji Rafie Ahmad.
“Kita juga minta kepada seluruh jentera PAS, terutamanya di kawasan-kawasan DUN yang ditandingi oleh calon-calon BN, kita amat mengharapkan agar mereka juga dapat memberikan sokongan yang sama kepada calon-calon BN,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyifatkan kerjasama itu sebagai satu perkembangan baharu dalam landskap politik negara dan berharap pendekatan berkenaan dapat diteruskan dalam pilihan raya akan datang.
Mengulas peluang BN meraih lima kerusi Parlimen di Melaka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau berkata gabungan itu mengambil iktibar daripada kekalahan pada PRU15 lalu dengan memperbaiki kelemahan serta kesilapan terdahulu.
Katanya, semangat kebersamaan antara BN dan PN perlu diperkukuh dengan mengutamakan prinsip serta mengetepikan perbezaan bagi membentuk kerjasama politik yang lebih kukuh.