11 NOV : Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, kajian mengenai Kampung Digital bukan turun dari langit, malah kajian beliau sendiri berdasarkan kehidupan serta pengalaman hidup penduduk di Kampung Pulau, Masjid Tanah.
Menurut Ketua Menteri Melaka itu, walaupun negara sudah merdeka, urusan surat menyurat masih tertumpu kepada satu alamat yang dikongsi beramai-ramai oleh penduduk kampung.
“Ingatkan kajian hanya untuk Masjid Tanah atau Melaka sahaja tetapi kajian saya mendapati negeri-negeri lain juga berdepan masalah yang sama.
“Saya olah sistem ini dengan mengangkat martabatnya menjadi sistem penyampaian kepada masyarakat yang diurus secara baik dan terancang,” katanya ketika bertemu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Molek, hari ini.
Mac tahun depan katanya, beliau akan menerima anugerah UNESCO di Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengiktiraf usahanya dalam pengurusan masyarakat melalui Kampung Digital yang bermula di Masjid Tanah.
Menurut Ab Rauf, kajian PhD berkaitan Kampung Digital sudah dirujuk pelbagai universiti di Asia Terengga malah satu persidangan mengenainya akan diadakan pada Mei tahun depan.
“Kalau pasaran Kampung Digital ini berkembang ke Indonesia, Thailand dan Kemboja, orang Melaka khususnya di Masjid Tanah patut bangga kerana akan mengungguli dunia digital di seluruh dunia,” jelas beliau.
Ab Rauf akan menerima Ijazah Doktor Pentadbiran (DBA) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil kejayaan kajian Analisis inisiatif Kampung Digital Melaka pada 21 November ini.
Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka itu sekali lagi mengulangi bahawa setiap pemimpin perlu menjadi rakyat dan membina kemajuan serta mempertahankan kesinambungan supaya nikmatnya dirasai anak cucu.
“Jangan buat silap sehingga kita akan dimaki mereka pada masa depan. Pokok yang rendang serta menjadi tempat berteduh ini, jangan ditebang.
“Kita kena ingat, apabila diberi amanah dan mandat, jiwa kita kena jadi rakyat. Jawatan kita sebagai tanggungjawab, perbuatan kita satu amanah. Hasilnya akan dilihat oleh rakyat,” pesannya sambil meminta rakyat terus memberi sokongan kepada BN pada Sabtu nanti.
