13 NOV : Berbaki beberapa jam sebelum hari pengundian calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar tetap meneruskan kempen cara tradisional dari rumah ke rumah.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata, baki tempoh berkempen akan digunakan sebaik mungkin untuk mendekati penduduk, terutama di kawasan kampung bagi memastikan seramai mungkin pengundi dapat ditemui.
Menurutnya, pendekatan bersemuka masih menjadi kaedah terbaik untuk mendengar sendiri suara rakyat, selain memberi peluang kepada beliau menyampaikan tawaran BN secara langsung.
“Jadi kita akan teruskan cara tradisional, dari rumah ke rumah, ‘walkabout’ dan cuba berjumpa dengan seramai mungkin pengundi di setiap kampung.
“Setakat ini, sambutan yang diterima baik dan ramai yang mengenali saya kerana sebelum ini kita juga pernah bertemu,” katanya.
Malah semalam, beliau dibantu bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkempen di Taman Seri Chinchin dan sebelumnya, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut membantunya berkempen.
Dalam pada itu, Dira merayu pengundi berdaftar di DUN Rim yang bekerja atau melanjutkan pengajian di luar kawasan supaya pulang mengundi, esok.
“Setiap undi amat penting dalam menentukan kemenangan BN. Saya merayu semua pengundi yang berada di luar kawasan supaya pulang dan memberikan sokongan kepada saya,” katanya.
