15 NOV : DAP memilih kekal dalam Pakatan Harapan (PH) meski kekalahan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang menyaksikan gabungan itu tewas di 20 kerusi daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, parti itu kekal komited terhadap PH dan hubungan antara ketiga-tiga parti komponennya masih erat meskipun keputusan pilihan raya tidak seperti yang diharapkan.
“Tidak. Kami akan kekal bersama Pakatan Harapan. Hubungan antara ketiga-tiga parti komponen masih rapat.
“Kami juga akan terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin dan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media, malam tadi.
Keputusan PRN malam tadi menunjukkan hanya DAP yang berjaya mempertahankan empat kerusi DUN yang ditandinginya iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir.
Sementara dua lagi rakan dalam PH, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memenangi sebarang kerusi malah Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sendiri gagal mempertahankan kerusi disandangnya sejak 2018, Bukit Katil.
Tiga lagi calon DAP turut tewas namun masih berjaya mengekalkan wang deposit manakala dua calon daripada PKR hilang deposit iaitu di DUN Ayer Limau dan Serkam.
Meskipun berjaya mengekalkan semua kerusinya, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka mengakui prestasi keseluruhan PH masih jauh daripada jangkaan.
Beliau berkata, semua parti dalam gabungan itu perlu memikul tanggungjawab secara bersama terhadap keputusan berkenaan dan bukannya meletakkan kesalahan kepada mana-mana parti komponen secara individu.
Sementara itu, Adly mengakui kekalahan gabungan itu dan berkata satu bedah siasat menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan serta memperbaiki strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, penilaian itu akan merangkumi pelbagai aspek termasuk strategi kempen, manifesto dan corak pengundian, selain dibawa ke Majlis Presiden PH untuk perbincangan lanjut.
“Perkara itu sememangnya akan kita lakukan. Seperti yang saya nyatakan, ia bukan hanya membabitkan Melaka. Kita juga akan menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam tempoh setahun.
“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki prestasi,” katanya.