16 NOV : Selepas 106 hari menerajui Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim disahkan melepas jawatan Menteri Besar.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menerima salinan surat peletakan jawatan itu bertarikh 16 November 2026 yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“BN menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas khidmat
bakti Datuk Ismail Lasim sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri
Sembilan.
“BN berharap keputusan ini dapat membuka lembaran baharu bagi memulihkan
kestabilan politik serta memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan lancar,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar kesembilan pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Dalam pada itu, Zambry berkata Ahmad Zahid akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar baharu untuk dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan
proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur, dengan mengambil kira
kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri serta perkenan Duli Yang Maha
Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Kemelut di Negeri Sembilan berlanjutan pada 3 Ogos, sehari selepas beliau mengangkat sumpah apabila Ismail dilapor menandatangani proklamasi berkait kedudukan Tuanku Muhriz ketika bertemu kumpulan Undang Yang Empat dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.
Namun, kemelut semakin memuncak apabila mesyuarat EXCO pada 15 September memutuskan untuk mengiktiraf proklamasi berkenaan, termasuk pengiktirafan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Susulan perkembangan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 EXCO kerajaan negeri berkuat kuasa 20 September atas alasan mereka memungkiri sumpah taat setia kepada institusi diraja.
Keadaan itu menyaksikan Ismail meneruskan pentadbiran negeri tanpa barisan EXCO lengkap, sementara bekas anggota EXCO mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka.
Terbaharu pada 10 November lalu, Ismail dan 10 EXCO dilapor mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk menarik balik pendirian dan menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz.