19 NOV : Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di negeri itu, semalam.
Dalam masa sama, jabatan itu menyelaraskan penyediaan khidmat bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial bagi membantu pelajar, guru dan warga sekolah yang terkesan dengan insiden berkenaan.
JPN Perak dalam kenyataan menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar terbabit yang disahkan meninggal dunia di sekolah berkenaan pada 18 November.
Menurut jabatan itu, perkembangan insiden berkenaan sedang dipantau secara dekat, manakala kebajikan serta kesejahteraan emosi warga sekolah turut diberikan perhatian.
“JPN Perak juga memastikan komunikasi dengan keluarga pelajar dilaksanakan secara berhemah, penuh empati dan berterusan, di samping memberikan bantuan serta sokongan yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.
Jabatan berkenaan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi berhubung kejadian itu, khususnya menerusi media sosial.
“JPN Perak memohon semua pihak agar menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya melalui media sosial, bagi menjaga sensitiviti keluarga serta kelancaran proses siasatan,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah SBP di Kuala Kangsar ditemukan tidak sedarkan diri dalam bangunan sekolah berkenaan kira-kira jam 6 petang, semalam sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin mengesahkan kejadian itu.
Mangsa difahamkan dibawa ke Hospital Taiping untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya siasatan menyeluruh, telus dan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
