19 NOV : Terdapat kesan jerutan pada leher pelajar Tingkatan 3 yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata perkara itu ditemui hasil bedah siasat terhadap mangsa.
Namun katanya, pemeriksaan fizikal tidak menemukan sebarang kecederaan lain pada tubuh pelajar tersebut.
Selian itu katanya, tiga set rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diserahkan pihak sekolah juga sudah diteliti dan tidak menemukan petunjuk berlakunya unsur khianat atau buli.
“Berdasarkan rakaman itu, tiada sebarang unsur khianat atau buli dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Alwi berkata, pelajar berkenaan ditempatkan di bilik sakit sekolah sejak Isnin lalu, termasuk pada hari kejadian.
Katanya, bilik berkenaan disediakan khusus untuk pelajar yang tidak sihat atau memerlukan rawatan di hospital dan turut dilengkapi CCTV bagi membolehkan pihak sekolah memantau keadaan mereka.
“Berdasarkan rakaman CCTV, mangsa dipercayai meninggal dunia jam 10.35 pagi.
“Bagaimanapun, dia hanya ditemukan pada 2.45 petang oleh seorang pelajar lain yang masuk ke bilik itu untuk menggunakan tandas,” katanya.
Beliau berkata, siasatan setakat ini membabitkan rakaman percakapan 11 individu terdiri daripada enam pelajar dan lima guru.
Polis turut mendapatkan keterangan rakan-rakan mangsa bagi mengetahui tingkah laku serta keadaan pelajar itu sebelum kejadian.
Mohd Alwi berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan tidak disiasat mengikut mana-mana kesalahan jenayah tertentu.
Sementara itu, proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Taiping selesai kira-kira jam 1 tengah hari tadi sebelum jenazah dibawa ke Juasseh, Negeri Sembilan pada jam 3.30 petang untuk urusan pengebumian.
Sebelum ini, bapa mangsa, Mohd Idzwan Razali, 48 menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kematian anaknya dan mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Saya tidak boleh ulas lebih, cuma mahu siasatan yang telus dan menyeluruh, itu harapan saya.
“Pihak sekolah pun ada terangkan (situasi yang berlaku) namun semua perkara masih tertakluk kepada hasil siasatan dan bedah siasat. Jadi, saya tak boleh buat sebarang andaian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Taiping, hari ini.
Mohd Idzwan berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu sudah menuntut di sekolah berkenaan sejak Tingkatan Satu dan sepanjang pengetahuannya, tiada masalah ketara membabitkan persekolahan atau kehidupan anaknya di asrama.
