27 NOV : Seorang lagi pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan bagi membantu siasatan kes penyelududpan dadah menggunakan aset ketenteraan, menjadikan lapan pegawai dan anggota ditahan, setakat ini.
Lelaki berusia 29 tahun itu bertugas di TUDM Subang ditahan di sekitar Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata empat lelaki awam turut ditahan di sekitar Lembah Klang selepas mengenal pasti individu yang dipercayai menjadi pembekal utama dadah kepada sindiket terbabit.
Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai mengeksploitasi pegawai TUDM sebagai penghantar dadah untuk pasaran di Sabah.
“Tindakan penguatkuasaan selanjutnya telah berjaya mengenal pasti pembekal utama dadah kepada sindiket untuk pasaran di Sabah yang telah mengeksploitasi pegawai TUDM sebagai penghantar dadah (transporter),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Empat lagi suspek yang diberkas terdiri daripada tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 28 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun.
“Hasil semakan mendapati tiga lelaki tempatan ini mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Dengan tangkapan terbaharu itu,Hussein berkata jumlah keseluruhan suspek yang ditahan berkaitan kes berkenaan meningkat kepada 18 orang, membabitkan lapan pegawai dan anggota TUDM serta 10 orang awam.
Hussein berkata, sehingga 27 November ini, lapan suspek sudah dituduh di mahkamah, masing-masing membabitkan tiga pegawai dan anggota TUDM serta lima orang awam di Kuala Lumpur dan Selangor.
Lima lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Pegawai TUDM yang ditahan pada 26 November lalu pula direman selama empat hari sehingga 30 November ini, manakala empat suspek awam terbaharu direman selama tujuh hari sehingga 3 Disember depan.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222.
Satu pemeriksaan rutin di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu membongkar aktiviti itu selepas lima beg dan sebuah kotak dikesan mengandungi dadah sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM.
Pemeriksaan itu membawa kepada penemuan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98kg bahan kimia.
Pagi tadi, tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mengedar 96.2kg dadah jenis methamphetamine di Pangkalan Udara Subang.
Tiga pegawai terbabit ialah Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33, Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27, dan Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34.
Turut didakwa ialah Tan Sui Seng, 48, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28, dan Afifah Amdas, 34.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.