10 OKT : Empat gudang di Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah dilaporkan terbakar, hari ini dengan salah satu daripadanya menyimpan bahan kimia.
Menurut bomba, api dapat dikawal sepenuhnya sekitar 1.34 tengah hari tadi.
Kejadian itu tular di media sosial sejak tengah hari tadi dengan dilaporkan turut berlaku letupan yang menggemparkan disusuli asap tebal.
Menurut perkongsian video, di media sosial terdapat beberapa mangsa yang melecur akibat kejadian itu namun tiada pengesahan lanjut berkait angka mangsa yang terjejas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd Faiz Suleiman mengesahkan letupan yang berlaku dalam kebakaran tersebut.
“Terdapat tiga unit kilang yang terbakar. Salah satunya ada penyimpanan bahan kimia termasuk ‘thinner‘.
“Memang ada letupan berlaku, tetapi tiada kecederaan kepada anggota kita,” katanya, lapor Harian Metro.
Operasi pemadaman turut mendapat bantuan dari BBP Larkin, BBP Skudai, BBP Pekan Nenas, BBP Pontian Baru dan BBP Sebana Cove melibatkan 39 anggota bomba.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba, Muhammad Al-Mustakin Abdul Hady berkata kejadian itu menyebabkan tiga gudang musnah sekitar 80 peratus manakala sebuah lagi terbakar 10 peratus.
“Keempat-empat gudang ini merupakan gudang penyimpanan yang dimiliki oleh tiga syarikat berlainan dan didapati kebakaran bukan bermula dari gudang yang mempunyai ‘thinner’ itu.
“Bagaimanapun, kita akan serahkan kepada pihak forensik untuk menjalankan siasatan penuh,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, terdapat sembilan pekerja berada di lokasi kejadian dan tiga warga asing cedera.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata mangsa yang cedera berusia antara 30 hingga 40 tahun dan menerima rawatan di Zon Merah wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA).