1 JAN : Pemasangan kamera lita tertutup (CCTV) di sempadan Malaysia-Thailand dekat Kelantan perlu disegerakan bagi menangani isu jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kesemua 169 pangkalan haram di sepanjang sempadan itu perlu diberi perhatian serius dengan menerapkan sistem pendigitalan.
“Langkah kawalan sempadan perlu dipertingkatkan dan penting untuk mengurangkan jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan.
“Saya meminta agar supaya pemasangan CCTV di pintu-pintu masuk sempadan negara dipercepat dan menggunakan teknologi buatan kecerdasan buatan (AI) sebagaimana saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemudah cara untuk sentiasa berevolusi, selari dengan kepelbagaian bentuk ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program rintis Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, hari ini.
Katanya, penggunaan teknologi AI dalam mengawal sempadan negara sangat kritikal yang diperlukan ketika ini bagi membantu agensi di sempadan memintas sebarang potensi ancaman sebelum ia berlaku.
“Penggunaan teknologi AI dalam kawalan pintu masuk dan sempadan melalui mekanisme yang tepat secara optimum akan membantu pegawai-pegawai kita memantau, menilai, merancang dan menguatkuasakan tindak balas terhadap sebarang bentuk ancaman dan cabaran yang dihadapi di pintu masuk dan sempadan negara.
“Sebagai contoh, penyelarasan dan analisis data daripada CCTV dan mesin pengimbas barangan di pintu masuk yang dilengkapi teknologi AI akan mempertingkatkan keupayaan para pegawai dalam membangunkan analisis risiko di pintu masuk,” katanya.

AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Oktober 2024.
Katanya, kerajaan akan menambah bilangan anggota AKPS yang kini hanya mempunyai 129 anggota aktif daripada keseluruhan 6,813 perjawatan yang diluluskan setakat ini bagi memastikan agensi itu dapat beroperasi dengan cekap dan efisien.
Menurutnya lagi, anggota AKPS akan diambil daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).