3 MAC : 3 MAC : Malaysia mengintai peluang untuk menerajui rantau ini dalam sektor teknologi mobiliti pintar dan cekap tenaga, bukan sekadar mengikut trend global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata industri automotif tempatan sedang menyesuaikan permintaan global untuk penyelesaian e-mobiliti, membentuk semula rantaian bekalan dan proses pembuatan sejajar dengan dasar kerajaan.
“Bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi ini, pemain industri perlu sedar bahawa asas industri yang kukuh tidak dibina dalam masa yang singkat. MITI, melalui pelbagai agensinya dan kementerian lain yang terlibat, memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan.
“Kami membina dan memberi keutamaan kepada pertumbuhan yang dipacu teknologi dan pengetahuan dengan menarik pelaburan yang sesuai, mempromosikan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia serta meningkatkan kerjasama kami dengan rakan global,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pusat R&D baharu Betamek Bhd di Rawang, hari ini.
Tengku Zafrul berkata kerajaan sentiasa menekankan soal kepentingan syarikat tempatan untuk menceburi bidang R&D dalam usaha meningkatkan rantaian nilai.
“Jika kita melihat kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, terdapat tumpuan kepada syarikat yang meningkatkan rantaian nilai dan kita tidak dapat mencapainya tanpa melabur dalam R&D,” katanya.
Mengulas tentang pelancaran pusat R&D itu, Tengku Zafrul berkata langkah penting menuju matlamat Malaysia untuk menjadi ekonomi berteknologi serta bernilai tinggi.
“Kita memerlukan pemain industri seperti Betamek untuk memacu inovasi dan mengkomersialkan teknologi baharu.
“Inisiatif seperti pelancaran pusat R&D hari ini menunjukkan bagaimana syarikat Malaysia melabur dalam R&D untuk meningkatkan dan menempatkan diri mereka untuk masa depan,” katanya.
Pusat itu menumpu kepada sistem bantuan pemandu, penyelesaian sambungan kenderaan dan teknologi kokpit pintar.
*Foto : Facebook Tengku Zafrul