4 APR : Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan perkara itu memaklumkan bakal duta itu bakal diumumkan dalam masa terdekat.
“Calon duta AS akan diumumkan dalam masa terdekat, segera. Sudah ada keputusannya. Agong sudah perkenan.
“Kita akan umumkan. Ia akan mengikut proses. Kalau boleh sabar dulu dalam sehari dua ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, hari ini.
Tempoh perkhidmatan Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Nazri Aziz, selama dua tahun berakhir 8 Februari lalu.
Antara nama yang disebut-sebut sebelum ini bagi mengisi jawatan itu termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; bekas pengerusi CIMB, Tan Sri Nazir Razak; bekas Ahli Parlimen, Yusmadi Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Faiz Abdullah.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim