30 APR : Majoriti kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang direkodkan di Sabah melibatkan kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman dalam satu kenyataan memaklumkan sehingga 19 April lalu, sebanyak 4,385 kes dikesan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 83 peratus adalah kanak-kanak bawah umur 7 tahun.
Beliau dalam kenyataan di sini malam ini berkata 83 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun.
“Lima daerah mencatatkan kumulatif kes tertinggi iaitu Kota Kinabalu dengan 705 kes, Papar (578 kes), Penampang (450 kes), Keningau (431 kes) dan Tawau (262 kes).
“Kesemua kes yang dilaporkan adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan pesakit luar tanpa melibatkan kes di unit rawatan rapi (ICU) atau kematian,” katanya.
Menurut Dr Maria, majoriti jangkitan itu berlaku di rumah atau pusat pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tadika dan prasekolah.
Setakat ini, 10 sekolah dilaporkan sebagai kluster jangkitan tersebut.
Dalam pada itu, katanya, lima sekolah terbabit diarah tutup sepenuhnya sementara selebihnya melibatkan penutupan sebahagian kelas tertentu bagi membolehkan siasatan lanjut dan kerja-kerja pembersihan serta disinfeksi dijalankan.
Justeru itu, orang ramai disaran mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk memastikan kebersihan diri dan persekitaran serta mengelakkan kanak-kanak yang bergejala daripada menghadiri pusat jagaan atau tempat awam bagi mencegah penularan jangkitan.