6 MEI : Beberapa langkah Malaysia dalam mendepani cabaran ekonomi hari ini mendapat perhatian dan pujian Bank Dunia.
Ini termasuk perjanjian pensijilan halal yang dimetrai dengan Indonesia dan penamatan kawalan harga telur secara berperingkat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata usaha negara mengurangkan birokrasi dalam pensijilan halal dapat meningkatkan ruang perdagangan halal antara Malaysia dan Indonesia.
Selain itu, beliau turut memuji usaha pentadbiran negara dalam memperkenal pelesenan digital pengangkutan kereta api Malaysia dengan Thailand.
Beliau melihat usaha itu sebagai langkah positif dalam perdagangan serantau.
“Ini menunjukkan halangan bukan tarif dalam ASEAN ini masih boleh diatasi,” kata Apurva melalui hantaran di akaun X, hari ini.
Dalam pada itu, Apurva menyifatkan penamatan subsidi telur yang dilaksanakan kerajaan secara berperingkat mulai 1 Mei lalu merupakan langkah yang wajar dipuji.
Selain itu, beliau turut menyambut baik langkah kolektif syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di negara ini yang melaksanakan gaji kehidupan wajar untuk pekerja berpendapatan rendah.
Namun beliau meningatkan impak dalam memberi tafsiran keterlaluan terhadap pengukuhan eksport, nilai ringgit dan petunjuk ekonomi lain yang positif.
“Lonjakan eksport semasa itu sebahagian besarnya disebabkan oleh tindakan penghantaran barangan lebih awal menjelang ketidaktentuan perdagangan global dan berkemungkinan besar bukan bersifat mampan.
“Begitu juga, pengukuhan ringgit itu hanya memaparkan kelemahan dolar AS berbanding lonjakan sebenar kekukuhan nilai ringgit. Pasaran pertukaran asing kekal terlalu goyah untuk membolehkan satu rumusan kukuh dapat dibuat,” katanya.
*Foto : Laman web World Bank Group