PM Anwar tamatkan lawatan rasmi ke Rusia

16 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan rasmi empat hari ke Rusia, hari ini.
Beliau menyifatkan Republik Tatarstan sebagai contoh model keharmonian antara agama dan kerjasama serantau.
Pada masa sama, Anwar turut memuji warisan Islam yang kukuh di Tatarstan serta hubungan eratnya dengan Gereja Kristian Ortodoks.
“Tatarstan ialah wilayah Islam yang kuat, namun yang menarik perhatian saya ialah kerjasama rapatnya dengan Gereja Ortodoks yang mewakili hampir 50 peratus penduduk di sini.
“Ini adalah contoh nyata keharmonian antara agama,” katanya dalam satu sidang media pada akhir lawatannya.
Mengulas tentang hasil pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin, Anwar berkata ia boleh disifatkan berpandangan jauh terutama dalam bidang perdagangan, pertanian, ekonomi halal dan pendidikan.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut membangkitkan komitmen Rusia untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memudahkan penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia bagi merancakkan pelancongan dan perjalanan perniagaan.
Kata Anwar, usaha meningkatkan perdagangan dalam komoditi agro seperti minyak sawit dan koko turut dibincangkan selain penyelesaian kepada isu yang menghalang kelancaran kerjasama dua hala.
“Kami turut menyentuh sektor industri kimia, perabot, runcit dan pembangunan infrastruktur, serta bidang digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Selain pertemuan itu, Anwar juga menyampaikan ucaptama pada sesi dialog ‘Strategic Vision Group Russia–Islamic World’ dan sesi pleno KazanForum 2025.
Pada masa sama, beliau turut bertemu Rais atau Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, tokoh ilmuwan Islam, mufti dan bekas Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedow.
Anwar dan delegasinya dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan, malam ini.
