Jangan gadai negara demi cita-cita politik

30 MEI : Kesemua ahli politik yang merebut jawatan wakil rakyat baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen diingatkan agar tidak menggandaikan negara dan negeri demi cita-cita masing-masing.
Pada masa sama, perbuatan tidak sihat juga perlu dielakkan termasuk membangkitkan isu-isu yang boleh menghakis hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Dalam pergelutan menjelang pilihan raya ini…pimpinan yang pernah memimpin…yang bersama, kadang-kadang lupa semata-mata untuk menghangatkan suhu politik (mereka) membangkitkan isu-isu yang menimbulkan…terhakisnya keyakinan kepada negara, perkara ini tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Penampang, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akui terdapat banyak perbezaan antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri-negeri terutama Sabah dan Sarawak namun ia perlu dilihat sebagai kekuatan negara demi kesejahteraan rakyat.
“Kepelbagaian juga boleh meruntuhkan… ada di negara di dunia pada awalnya menerima kepelbagaian kaum dan agama, kemudian timbul permusuhan antara kaum, agama dan wilayah. Negara mana yang boleh berjaya begitu? Semua hancur lebur.
“Jadi, betapa susah pun, betapa sukar sekalipun, pimpinan yang waras dalam kempen politik untuk rebut jawatan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau ahli Parlimen mesti ingat, jangan korbankan negeri dan negara ini,” katanya.
Katanya, semangat membina kekuatan Sabah perlu disemai melalui perpaduan yang kukuh antara kerajaan.
