3 JUN : Malaysia membangun hab pensijilan dan kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf di peringkat serantau dengan kerjasama institusi pendidikan dan rakan industri antarabangsa termasuk dari United Kingdom (UK).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang melahirkan tenaga mahir dan pusat rujukan latihan dan pensijilan TVET yang berwibawa bagi rantau ASEAN.
“Bagi memenuhi kehendak pasaran untuk ASEAN, kita ada Majlis TVET ASEAN dan akan aktifkan bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga kita mahu menggamit pelajar dari negara rantau itu untuk belajar di institusi TVET di Malaysia tanpa mengurangkan peluang untuk pelajar kita belajar di institusi berkenaan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan umum berkaitan TVET di University College London (UCL) yang turut dihadiri pensyarah kanan dan pelajar di institusi berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata perbincangan dengan beberapa menteri negara ASEAN yang bertanggungjawab dalam bidang guna tenaga dan pekerjaan dijalankan sebelum ini bagi kerjasama serantau dalam pembangunan aliran itu
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, Malaysia bersedia menjadi platform global dalam melahirkan bakat TVET bertaraf dunia serta bersedia untuk pasaran industri.
“Kita sedia memimpin tetapi kita sedar kita tidak boleh melakukannya bersendirian. Kita akan mencapainya melalui kerjasama erat dengan ASEAN, rakan global serta warga Malaysia di luar negara yang berkongsi visi membina generasi yang mahir, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kemasukan pelajar ke institusi TVET melonjak kepada 436,285 orang dengan 53.5 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih TVET pada tahun lalu.
Angka itu itu menurutnya menggambarkan satu petanda positif perubahan persepsi rakyat terhadap TVET yang tidak lagi dianggap sebagai pilihan kedua.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan menjadi tuan rumah Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 yang bertemakan “’TVET untuk Kemajuan Luar Bandar dan Serantau’ bulan ini, bersempena Hari TVET Kebangsaan 2025.
Pada dialog berkenaan, delegasi dari ASEAN, Australia dan Jerman akan membincangkan peranan TVET dalam mendorong pertumbuhan inklusif, memperkasakan belia dan memajukan komuniti luar bandar serta pertukaran inovasi, kerjasama industri dan transformasi negara.
