18 JUN : Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penjual dan platform yang membenarkan penjualan cecair vape yang mengandungi dadah dalam media sosial.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata perkara itu akan dibincangkan bersama tiga kementerian sebelum dibentang kepada jemaah menteri.
“Jemaah menteri dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mengenai jualan produk-produk dalam talian termasuk barangan yang boleh diklasifikasikan dadah narkotik yang juga disalahgunakan dengan peranti vape.
“Datuk Armizan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan saya (Kementerian Komunikasi) akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan penguatkuasaan terhadap produk-produk larangan termasuk jualan cecair yang dipercayai mengandungi dadah yang dilarang melalui aplikasi atau platform media sosial dan juga dalam talian.
“Insya-Allah selepas daripada mesyuarat itu kami akan bentangkan hasil kepada jemaah menteri diikuti dengan tindakan terhadap mereka yang menjual produk atau platform yang membolehkan produk-produk tersebut dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Menurutnya, usaha itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap penjualan produk-produk terlarang secara dalam talian yang dilakukan secara berleluasa.

*OLEH : HANUM RAJAK