19 JUN : Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan kononnya tidak berlaku reformasi dalam pentadbiran Kerajaan MADANI.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata agenda reformasi negara kini sedang berjalan secara konsisten.
“Pejabat Perdana Menteri juga ingin menegaskan dakwaan bahawa reformasi tidak berlaku adalah tidak berasas sama sekali.
“Agenda reformasi kerajaan sedang berjalan dengan konsisten, bukan hanya dalam sehari, bukan sekadar dalam kenyataan tetapi dalam tindakan yang berstruktur,” katanya dalam Taklimat Harian PMO, hari ini.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata sejak awal pentadbiran lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan sentiasa mendengar dan terbuka kepada kritikan membina.
Katanya, pendirian itu diterjemah melalui tindakan dan sebarang teguran dilihat sebagai peluang untuk menambah baik di mana pencapaian hari ini adalah cerminan kepada pendekatan itu.
*OLEH HANUM RAJAK