11 NOV : Seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki bersenjatakan dua bilah parang dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, petang Rabu.
Suspek warga asing itu bagaimanapun maut ditembak polis selepas bertindak menyerang anggota keselamatan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari lokasi kejadian, antara jam 7.30 hingga 8 malam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan menahan suspek yang sekali lagi menyerang menggunakan parang.
“Namun tembakan hanya mencederakan suspek dan apabila melihat keadaan tersebut, polis berusaha membawa suspek untuk dapatkan rawatan di hospital,” katanya pada sidang media di Hospital Selayang, malam ini.
Bagaimanapun, suspek disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, suspek dilaporkan meluru keluar dari sebuah unit kediaman sebelum menyerang anggota polis, bomba dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Shazeli berkata, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu turut mengalami kecederaan pada kepala dan badan.
Mangsa yang pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan awal kini dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanannya.
Beliau berkata, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan berharap pembedahan itu berjaya menyelamatkan tangannya.
“Insya-Allah, saya minta kita semua doakanlah supaya dapat disambungkan sebab dia sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur dalam usaha untuk menyelamatkan tangan tersebut,” katanya.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial di mana terdapat klip video memaparkan anggota terbabit dilihat berdepan dengan suspek yang ketika itu memegang parang.
Malah suspek turut dilihat merosakkan kereta peronda polis dan bomba menggunakan parang tersebut.