20 JUN : Pengamal media hari ini menggalas tanggungjawab penting dalam menapis fakta yang tepat untuk disaji kepada masyarakat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata media perlu melaporkan fakta yang benar meskipun ia pahit.
“Di sinilah wartawan moden mesti kembali kepada asas berpegang teguh pada kebenaran dan tanggungjawab sosial.
“Komitmen terhadap kebenaran dan tanggungjawab sosial menjadikan profesion kewartawanan tunjang utama dalam masyarakat yang berinformasi.
“Peranan wartawan sebagai pemegang amanah yang mengendong maklumat makin penting untuk menapis fakta daripada kepalsuan, melapor dengan saksama dan menegakkan prinsip berkata benar walau pahit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS, malam ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata peranan media bukan untuk menggembirakan pemerintah sebaliknya melaporkan fakta kepada umum.
Katanya, rakan media merupakan mata dan telinga rakyat yang melaporkan fakta sebenar supaya kerajaan dapat membuat keputusan berdasar kepada realiti di bawah.
“Wartawan adalah sahabat kepada kebenaran dan musuh kepada penindasan.
“Tugas kita bukan untuk menggembirakan pemerintah atau memburukkan mereka tetapi menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dengan fakta dan hujah,” katanya.
Dalam majlis itu, Zambry menyampaikan anugerah Tokoh Wartawan Negara kepada Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai,
Bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri, Allahyarham Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia tahun lalu merupakan penerima Anugerah Khas.
