21 JUN : UMNO perlu melakukan perubahan dalam usaha menarik undi terutama dalam kalangan pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kelak.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata imej positif perlu ditonjolkan disamping menawarkan manifesto yang selaras kehendak rakyt tempatan.
Namun beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri melahirkan keyakinan persiapan UMNO sedang dan akan terus dijalankan dalam memastikan parti itu benar-benar bersedia untuk menghadapi pilihan raya tersebut.
“Saya lihat kerjasama antara UMNO di peringkat pusat dan negeri amat baik kerana semua pihak mahukan UMNO kembali menjadi parti yang kuat dan dominan di Sabah serta menang di semua kerusi ditandingi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Machang 2025 pada Jumaat.
Sebelum ini timbul spekulasi PRN Sabah dijangka pada Julai atau Ogos slepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) namun tiada tarikh pasti diumumkan setakat ini.
Dalam pada itu, Shamsul menjangkakan UMNO turut akan meletakkan calon wanita pada PRN negeri itu nanti.
Katanya, peranan wanita bukan hanya sekadar bagi memenuhkan kuorum dalam mesyuarat parti semata-mata.
“Melihat kepada kepentingan peranan ini, saya yakin UMNO akan meletakkan calon wanita pada PRN Sabah nanti.
“Siapa dan berapa jumlahnya akan ditentukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tentunya mempunyai strategi tersendiri untuk mencapai kemenangan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan pembubaran DUN akan dibuat selepas Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dijadualkan pada akhir Julai ini.