26 JUN : ASEAN menyambut baik perjanjian perdamaian yang membawa kepada gencatan senjata antara Iran dan Israel sekaligus menamatkan konflik 12 hari itu.
Menteri-menteri luar ASEAN dalam satu kenyataan menggesa kedua-dua pihak mematuhi perjanjian itu bagi mengelakkan konflik berulang.
Para menteri turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Asia Barat sejak 13 Jun.
“Kami menegaskan semula kewajipan semua pihak untuk menyelesaikan perbezaan melalui cara aman serta menghormati kedaulatan dan integriti wilayah semua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami seterusnya mengulangi kewajipan untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam dalam konflik bersenjata sebagaimana termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan resolusi berkaitan Majlis Keselamatan PBB,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, ASEAN turut menzahir sokongan terhadap usaha berterusan bagi meredakan ketegangan dan menggalakkan penglibatan secara konstruktif dalam kalangan semua pihak terlibat.
“Kami turut menegaskan semula komitmen bersama kami untuk menyediakan bantuan kecemasan kepada warga ASEAN selaras dengan Deklarasi ASEAN mengenai Garis Panduan Bantuan Konsular oleh Misi Negara Anggota ASEAN di Negara Ketiga kepada Rakyat Negara Anggota ASEAN yang Lain.
“Ini termasuk Garis Panduan bagi Penyediaan Bantuan Kecemasan oleh Misi ASEAN di Negara Ketiga kepada Rakyat Negara Anggota ASEAN dalam Situasi Krisis,” menurut kenyataan berkenaan.
Terdahulu, Iran dan Israel mencapai kesepakatan untuk melaksanakan gencatan senjata selepas konflik kedua negara memasuki hari ke-12.